-

-

Tuesday, November 16, 2010

Keberkesanan kos dalam perbelanjaan

Kenyataan orang politik mudah dipertikaikan bukan hanya kerana mereka ini selebriti sosial yang dikenali umum, tetapi disebabkan kurangnya logik dan ketuntasan.

Dalam kata lain, mereka yang bijak mungkin melafazkan sesuatu yang kurang bijak dengan niat tertentu. Dengan berbuat demikian, sesungguhnya mereka telah mempersendakan tahap kebijaksanaan rakyat. Walhal, ketiadaan ketuntasan jelas mendedahkan rendahnya tahap keikhlasan seseorang ahli politik.

Baru-baru ini soal keberkesanan kos dalam perbelanjaan sesebuah kementerian dibangkitkan, khususnya mengenai lawatan menteri dan timbalannya serta pegawai pengiring mereka ke seberang laut atas nama tugasan rasmi. Usaha membangkitkan persoalan sedemikian yang relevan kepada kepentingan rakyat bukanlah monopoli parti pembangkang semata-mata.

Dalam konteks ini, kebetulan terdapat beberapa Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang menyoal Menteri Pelancongan, Datuk Sri Dr Ng Yen Yen berkenaan kekerapan lawatan beliau ke luar negara yang memakan belanja besar.

Soal siapa menyoal bukanlah perkara pokok, baik Ahli Parlimen dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, persoalan perlu dijawab menteri terbabit. Namun apa yang memeranjatkan menteri tersebut melatah di luar Dewan.

Berulang kali beliau tegaskan, setiap wang ringgit dibelanjakan untuk lawatan luar negara mendatangkan pulangan kerana kemasukan pelancong asing ke negara ini beratus kali ganda.

Pada zahirnya, logik beliau mudah. Menteri Pelancongan kita hanya ambil kira pendapatan kasar yang kita peroleh dari pelawat asing mengunjungi Malaysia berbanding perbelanjaan lawatan beliau.

Takuk minda dan logik sedemikian cukup mengejutkan, khasnya daripada seorang menteri berprofil tinggi dan ada pendedahan luas di persada antarabangsa. Sekiranya hendak membuat penilaian keberkesanan kos secara menyeluruh, maka perlu juga kita mengambil kira perbelanjaan kerajaan dalam membiayai emolumen pegawai pelancongan serta kemudahan fizikal yang berkaitan penempatan mereka di seberang laut.

Hakikatnya, tugasan rasmi seseorang anggota pentadbiran di negara asing adalah singkat sehingga kita sering meragui formaliti sedemikian boleh menghasilkan pulangan yang dimaksudkan tanpa sebarang daya usaha sokongan yang lain.

Lebih-lebih lagi, dari sudut perhitungan kos perbelanjaan penyandang jawatan menteri sekali pun, emolumen beliau pasti perlu diambilkira. Ini bermakna, perbelanjaan lawatan berkenaan bukan elemen kos yang tunggal.

Apa yang umum mahu tahu ialah, sama ada negara-negara yang dikunjungi itu benar-benar merupakan kumpulan sasar yang menjanjikan pulangan lumayan.

Mungkin Menteri Pelancongan berhujah, beliau perlu berusaha dengan membuat lawatan lebih kerap agar menarik lebih ramai lagi pelancong dari negara-negara yang beliau lawati. Namun pada masa sama, perlu kita buat bandingan kos perbelanjaan yang terlibat dalam lawatan berulang kali ke negara berkenaan.

Pertumbuhan industri pelancongan kita dari segi bilangan pelawat asing yang kita uar-uarkan tidak akan membawa sebarang makna tanpa membuat perbandingan dengan negara-negara pesaing kita.

Misalnya, sasaran pasaran pelancong Eropah, menteri kita berulang kali menjelajah Eropah atas sebab promosi. Hasilnya mungkin bertambah, tetapi jika ia masih jauh ketinggalan daripada negara-negara pesaing di sekitar kita, maka perlulah direnungi keberkesanan lawatan yang memakan belanja besar itu.

Tidakkah wajar perbelanjaan itu disalurkan kepada usaha lebih positif seperti pengiklanan di media antarabangsa dan menaik-taraf kemudahan kita yang sedia ada agar meningkatkan lagi daya tarikan produk pelancongan?

Logik begitu tidak sukar untuk difahami kalangan rakyat, apatah lagi menteri berpelajaran tinggi dan berpendedahan luas di arena antarabangsa. Sebarang hujah kurang meyakinkan hanya akan menjejaskan kredibiliti sendiri.

* Penulis ialah mantan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Pandan.

P/S: Renung-renungkan pendapat beliau ini..

Sumber  : Kosmo

2 comments:

  1. kalo dah nma politik..
    mmg mcm tu lah..

    btw, salam adil adha dri dedin

    ReplyDelete
  2. tingkatkan backlink dan visitor hanya copy paste banner sahaja dan simpan di blog anda....hasilnya nantikan ...
    kalau rajin x plore banner kat bawah post dalam blog tu....satu persatu masukkan backlink....try la...thanks...

    ReplyDelete