-

-

Friday, September 17, 2010

Impak Ekonomi Hari Raya

Ramadan berlalu, Syawal pula menjelang sejak beberapa hari yang lalu. Semasa artikel ini ditulis, tentunya masih ramai yang sedang meraikan hari raya di kampung dan tentu juga ramai yang membuat persiapan khususnya warga kota yang berhari raya di kampung bertolak kembali ke Kuala Lumpur atau bandar-bandar lain yang menjadi tempat mereka meraih rezeki.

Selepas itu, tentulah suasana berhari raya di Kuala Lumpur akan berterusan sehingga ke penghujung bulan Syawal. Mungkin ada juga terlajak sehingga ke minggu pertama bulan Zulkaedah.

Saya sengaja menulis tentang suasana Syawal dan kaitan impaknya ke atas ekonomi kita secara menyeluruh. Di sini, terdapat tiga penyumbang kepada kesan ekonomi, pertamanya ialah perbelanjaan keluar, keduanya adalah pendapatan masuk dan yang ketiga, produktiviti menyeluruh akibat daripada perayaan ini.

Tentunya ia turut menyentuh pelbagai kesan mikro dan makro yang berlaku di antara keduanya. Rumusan ini hanya berdasarkan pengamatan mata kasar seorang yang bukan ahli ekonomi. Analisis dibuat secara rambang yang mungkin boleh dikaji dengan lebih mendalam oleh pakar-pakar yang berminat.

Penyumbang pertama iaitu perbelanjaan keluar. Daripada perjalanan sehingga kepada perbelanjaan untuk mengadakan majlis kenduri besar-besaran. Cerita tentang balik kampung menjadi penyumbang besar kepada perbelanjaan sempena hari raya. Sekiranya diambil kira hanya dalam masa dua hari sebelum raya, kenderaan yang memenuhi jalan raya sudah mencecah hampir tiga juta yang bersimpang siur ke mana-mana destinasi seluruh negara.

Sekiranya sebuah kenderaan membelanjakan RM100 untuk petrol, maka jumlah perbelanjaan perjalanan sebelum raya adalah kira-kira RM300 juta. Tentunya untuk perjalanan kembali setelah selesai berhari raya di kampung dengan nilai yang sama. Ini bermakna kira-kira RM600 juta telah dilangsaikan oleh seluruh masyarakat untuk tujuan balik kampung sahaja.

Nilai di atas tidak meliputi perbelanjaan makan minum sewaktu perjalanan, kos menyelenggara kenderaan dan juga susutnilai kerana minyak enjin, tayar dan segala wear and tear, yang disebabkan oleh perjalanan balik kampung. Sekiranya diconggak secara kasar untuk perbelanjaan makan minum sebanyak RM50 bagi sebuah kereta dan masalah wear and tear serta segala penyelenggaraan membabitkan kos sebanyak RM100 lagi, maka nilai kos balik kampung bertambah sebanyak RM350 juta lagi. Jadi, bolehlah dianggarkan di sini, kos keseluruhan rakyat Malaysia berbelanja untuk pra-Syawal menghampiri satu bilion ringgit.

Perbelanjaan kedua besar ialah kos untuk mengadakan majlis-majlis kenduri hari raya. Berapa ramaikah keluarga Islam yang tinggal di Malaysia? Sekiranya purata ahli untuk satu keluarga ialah lima orang, Malaysia yang mempunyai jumlah penduduk dalam lingkungan 27 juta, bermakna kita ada 5.4 juta keluarga. Sebanyak 60 peratus adalah keluarga masyarakat Bumiputera yang kebanyakannya beragama Islam. Ini membawa kepada 3.24 juta keluarga Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sekiranya setiap keluarga berbelanja sebanyak RM500 untuk mengadakan majlis hari raya, maka jumlah perbelanjaan mengadakan majlis itu adalah sebanyak RM1.62 bilion.

Itu tidak termasuk mereka yang berbelanja besar mengadakan majlis rumah terbuka atas kapasiti peribadi dan agensi seperti badan-badan kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan bertaraf JUSA, ahli perniagaan dan tokoh korporat bertaraf tiga bintang dan ke atas berbelanja dari puluhan ribu sehingga ratusan ribu ringgit.

Seorang penyedia makanan untuk majlis (caterer) dari Shah Alam berkata, beliau bekerja untuk tiga majlis hari raya untuk agensi-agensi kerajaan dan menteri dan keuntungannya cukup untuk beliau dan keluarga membiayai kos sara hidup untuk setahun. Mungkin ini adalah satu kenyataan yang keterlaluan tetapi boleh dikatakan betapa besarnya kos mengadakan satu majlis hari raya yang tidak dimasukkan ke dalam pengiraan di atas.

Nilai di atas juga tidak melibatkan kos perjalanan masyarakat dalam masa sebulan ini untuk menghadiri majlis-majlis hari raya yang dijangka berjumlah ratusan juta. Ini boleh disaksikan apabila kita mendapati jalan-jalan di sekitar Lembah Klang akan sesak dan terlalu banyak kereta di atas jalan raya terutamanya pada waktu tengah hari, lebih-lebih lagi pada hari Sabtu dan Ahad.

Aspek kedua yang hendak disentuh ialah pendapatan masuk. Dari andaian kasar untuk perbelanjaan keluar yang dikira di atas adalah sebanyak RM2.62 bilion tanpa mengambil kira banyak lagi variabel-variabel lain. Nilai perbelanjaan keluar mesti dan sepatutnya sama dengan nilai pendapatan masuk. Cuma perbelanjaan keluar adalah nyata dan jelas datangnya dari poket orang-orang Islam yang rata-ratanya adalah orang Melayu atau pun Bumiputera lain.

Sementara pendapatan masuk pula, poketnya adalah pelbagai. Sekiranya perbelanjaan petrol, poket besarnya adalah Petronas, Shell, Esso, dan Caltex. Sementara poket-poket kecilnya ialah pemilik-pemilik stesen minyak dari pelbagai kaum dan bangsa. Bengkel menyelenggara kereta terbahagi dua, sebahagiannya Melayu, sebahagiannya Cina. Maknanya nilai polar pendapatan sudah terbahagi.

Semua penyedia makanan adalah Melayu atau Islam. Tetapi ini hanyalah poket-poket kecil. Rata-rata mereka yang berbelanja dalam kategori RM500 untuk mengadakan majlis hari raya akan berkunjung ke pasar raya hiper seperti Giant, Tesco, Mydin, Carrefour, Econsave dan sebagainya. Sekali lagi kita dapat melihat polar pengaliran wang sudah terbahagi. Saya cuma mahu menggambarkan bagaimana putaran ringgit yang berada di dalam aliran orang-orang Melayu/Bumiputera atau Islam melalui perbelanjaan yang besar sebegini telah terpecah kepada peringkat pendapatan masuk.

Sekiranya nilai hipotetikal perbelanjaan keluar yang saya anggarkan sebanyak RM2.62 bilion ringgit yang dibelanjakan oleh masyarakat Islam di dalam satu perayaan besar Aidilfitri akan menyamai pendapatan masuk, berapakah yang akan masuk kembali ke dalam poket masyarakat Islam? Dan apabila ia telah berada di dalam putaran masyarakat peniaga kaum lain, apakah ia akan kembali balik kepada masyarakat Islam? Kalau dilihat dari senario di atas, seolah-olah ia tidak akan kembali balik ke dalam putaran aliran orang-orang Islam lagi. Jika balik pun hanya dalam bentuk cukai, dan perbelanjaan hasil daripada cukai hanya sebahagian sahaja yang akan balik kepada masyarakat Islam.

Artikel ini mahu menggambarkan betapa kedudukan ekonomi orang-orang Islam akan menjadi semakin mengecut pada setiap kali musim perayaan besar seperti Aidilfitri. Sementara ekonomi bangsa lain seperti pemilik Tesco, Carrefour dan Giant menjadi semakin besar.

Justeru, untuk membesarkan kedudukan ekonomi orang-orang Islam, perlunya diwujudkan lebih ramai lagi peniaga seperti MyDin, stesen minyak milik Bumiputera dan sebagainya. Dengan lain perkataan, masyarakat Islam perlu lebih menghayati falsafah Islam yang menggalakkan perniagaan seperti di dalam hadis yang menyebut bahawa 9/10 rezeki datangnya daripada perniagaan.

Perkara ketiga yang hendak dilihat di sini ialah produktiviti sepanjang Syawal. Apakah telah dijalankan kajian-kajian tentang impak hari raya ke atas produktiviti pekerja? Rasanya impak produktiviti begitu besar sekali. Seminggu sebelum raya, jika kita pergi ke kebanyakan pejabat-pejabat kerajaan, kakitangan sudah mula sibuk dengan soal-soal peribadi untuk persiapan hari raya. Seminggu selepas raya, malah dalam masa sebulan Syawal, pejabat tidak diisytiharkan tutup, tetapi para pegawainya sibuk berhari raya. Tentu sekali produktiviti akan merudum. Untuk menilai impaknya, ahli-ahli ekonomi boleh membuat kajian.

Artikel ini juga sekadar ingin membuat telahan dan yang terbaik sekiranya ada pakar-pakar ekonomi boleh memberi cadangan bagaimana kita semua boleh meneruskan tradisi berhari raya selama sebulan dengan gembira tanpa menjejaskan produktiviti pekerja.

DATUK SOHAIMI SHAHADAN Ketua Biro Ekonomi Pemuda UMNO.

Sumber Utusan

No comments:

Post a Comment